KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini mengeluarkan amaran tegas kepada Ahli-Ahli Parlimen selepas memantau beberapa insiden dalam mesyuarat Dewan yang didakwa melibatkan gangguan serta tindakan tidak wajar.
Datuk Dr. Ramli Datuk Mohd Nor memberikan amaran tersebut sebelum memulakan sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
“Yang Berhormat, saya memantau mesyuarat saya dapati banyak sangat gangguan yang tidak perlu. Jadi Yang Berhormat ambil maklum peraturan dua peraturan ini, pertama Peraturan 7 (4), kedua baca Peraturan 37(2).
“Jika Yang Berhormat melanggar arahan saya, saya akan terus membuat pertuduhan, jika jawapan tu tidak berpuas hati saya akan jatuh hukum terus selepas mendapat penjelasan.
“Saya tak izinkan ‘mockery’ (ejekan) dalam Dewan. Ingat ya, saya buat kerja saya buat kerja, di luar kita boleh main,” katanya tegas.
Sebelum ini, suasana Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila berlakunya perang mulut antara RSN Rayer (PH- Jelutong) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai isu institusi Parlimen.
Pada mulanya, Shahidan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 mencadangkan agar Parlimen ditutup setelah berkata institusi tersebut gagal.
Suasana bertukar menjadi semakin tegang apabila Shahidan secara tiba-tiba menyamakan situasi tersebut dengan Dasar Aparteid apabila kerajaan dianggap membeza-bezakan antara Ahli Pembangkang dan Barisan Kerajaan. – KOSMO! ONLINE














