PETALING JAYA – Penyanyi dan pengarah kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, menafikan dakwaan kononnya dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, Namawee, 42, berkata, dia berasa marah dengan berita palsu dan tuduhan tidak berasas yang tersebar sejak beberapa hari lalu.
“Saya rasa sangat marah apabila melihat satu lagi berita yang direka-reka tanpa bukti. Saya juga telah menerima banyak pertanyaan dan keprihatinan, jadi saya ingin menjawab semuanya di sini.
“Saya tidak mengambil dadah, dan saya juga tidak membawa dadah. Paling banyak pun, saya hanya minum arak agak banyak sejak kebelakangan ini. Kalau kamu percaya, percayalah. Kalau kamu tak percaya, terpulanglah,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan dan beliau tidak dapat mendedahkan sebarang butiran lanjut buat masa ini.
“Apa pun, laporan polis akan mengambil masa dua atau tiga bulan untuk dikeluarkan. Tiada maklum balas sebelum ini kerana kes tersebut masih dalam siasatan, dan kami tidak boleh mendedahkan butiran kes itu, kami juga terkesan dengan perkara ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, artis kelahiran Muar itu memberi amaran kepada individu tertentu agar tidak mengambil kesempatan dengan menyebar fitnah atau ugutan terhadapnya.
“Kepada mereka yang cuba melakukan ugutan, jika kamu mahu terus bermain, kami akan lawan sampai bila-bila masa pun,” tegasnya.
Sementara itu, Namewee turut bersimpati atas kematian pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun di ibu negara bulan lalu, sambil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan perkhidmatan ambulans.
“Kami amat bersedih atas kematian mengejut Yu-hsin. Semoga tenang di sana. Ambulans lewat hampir sejam. Saya benar-benar tidak tahu untuk apa nombor 999 digunakan. Kalau saya telefon dan tanya pun, saya akan dimarahi,” dakwanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, pengurus kepada Hsieh Yu-hsin, tampil mendakwa Namewee menyembunyikan kebenaran berhubung kematian personaliti tersebut.
Menerusi hantaran pengurus berkenaan yang dikenali sebagai Chris di akaun Instagram @Rameneater69, dia menegaskan wujud percanggahan ketara antara kenyataan awam Namewee dan laporan rasmi polis.
Sebelum ini, Yu-hsin dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu ketika sedang menjalankan penggambaran bersama Namewee.
Namewee dikatakan cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghubungi ambulans sekitar pukul 12.30 tengah hari. – KOSMO! ONLINE














