fbpx
RASHFORD setakat ini sudah berjaya menjaringkan enam gol daripada 13 perlawanan dalam semua kejohanan. - AFP

Penyudah Rashford perlu lebih tajam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick berharap jentera serangan pasukan itu menunjukkan penyudah lebih tajam menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Club Brugge di Stadium Jan Breydel awal pagi esok.

Meskipun dianggap memiliki antara serangan terbaik di Eropah, namun beliau masih belum berpuas hati dengan kualiti keseluruhan di depan gawang lawan, terutamanya melibatkan Marcus Rashford.

Justeru, beliau menggesa pemain pinjaman dari Manchester United itu mempamerkan penyudah lebih berbisa ketika bertemu Brugge meskipun menjaringkan satu gol ketika membantu The Catalans menewaskan Elche kelmarin.

“Berdasarkan peluang dimiliki Rashford sejak menyertai pasukan ini, saya mengharapkan dua atau tiga gol lebih daripada yang dijaringkan setakat ini. Ia bagus untuk pasukan dan dirinya sendiri.

“Saya tahu dan percaya dia memang memiliki kebolehan untuk beraksi di pentas besar seperti ini. Bagi saya, dia merupakan pemain yang sangat penting dan harap dia lebih tajam ketika bertemu Brugge,” katanya.

Sejak menyertai Barcelona secara pinjaman pada Julai lalu, pemain England itu sudah pun menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan tetapi ia dianggap masih belum mencukupi buat Flick.

“Saya hanya cuba buat yang terbaik setiap kali masuk ke dalam padang tetapi kadang-kadang ada kesilapan dilakukan. Saya hanya fokus untuk membantu pasukan mencatat keputusan yang diharapkan,” ujar Rashford. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI