SEPANG – Pelumba Honda HRC Castrol, Luca Marini mencadangkan agar Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) menilai semula format kelayakan sedia ada yang disifatkannya memberi handicap besar kepada pelumba yang gagal mara ke sesi Q2.
Menurut Marini, sistem semasa terlalu menghukum pelumba yang terlepas kedudukan 10 terbaik pada sesi latihan pertama kerana mereka perlu bertarung sekali lagi dalam Q1 untuk memburu dua slot terakhir ke Q2.
“Dengan tahap persaingan sekarang, gagal ke Q2 memang satu kerugian besar. Ia boleh menjejaskan keseluruhan hujung minggu,” kata Marini.
Format semasa menyaksikan 10 pelumba terpantas pada Jumaat layak ke Q2, manakala baki bersaing dalam Q1 bagi mengisi dua tempat terakhir, sementara mereka yang tersingkir akan bermula dari petak ke-13 ke bawah untuk perlumbaan sprint dan Grand Prix (GP).
Marini berpendapat sistem itu terlalu bergantung kepada nasib, terutamanya apabila insiden seperti kemalangan atau bendera kuning boleh menggagalkan pusingan terbaik seseorang pelumba.
“Kadang-kadang kita sudah catat masa terbaik, tapi bendera kuning keluar dan pusingan dibatalkan. Habis satu hujung minggu begitu saja. Dengan dua perlumbaan sekarang (sprint dan GP), kelayakan menjadi lebih penting,” katanya.
Sebagai penyelesaian, Marini mencadangkan agar Dorna mempertimbangkan pendekatan seperti kelas Moto2 dan Moto3 yang membenarkan empat pelumba mara dari Q1 ke Q2.
“Kalau boleh tambah jumlah pelumba dari Q1 ke Q2, sekurang-kurangnya mereka yang ada rentak laju tak terus terperangkap di belakang. Kadang ada pelumba dalam Q1 tapi cukup pantas untuk menang,” tambahnya.
Bagaimanapun, Marini akur dengan cabaran sistem sedia ada dan menegaskan pelumba perlu lebih bersedia sejak hari pertama. – AGENSI















