SUBANG – Malaysian Battalion 850-13 (Malbatt 850-13) menjadi kontinjen terakhir yang dihantar ke Lebanon bagi membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL).
Kumpulan pertama kontinjen itu yang terdiri daripada 150 anggota dan diketuai Kolonel Mohd. Rizwan Abdullah dijangka berlepas ke Lebanon dengan menaiki pesawat Air Asia kira-kira pukul 5.30 petang hari ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, secara keseluruhan, Malbatt 850-13 berkekuatan seramai 532 anggota terdiri 68 pegawai dan 442 anggota lain-lain pangkat.
Menurutnya, ia termasuk tiga pegawai dan 18 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), serta seorang Pegawai Kewangan Awam daripada Kementerian Pertahanan.
“Anggota kita hantar kali ini adalah lebih kecil daripada biasa disebabkan ini Malbatt yang terakhir sejak penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 2007 hingga kini.
“Telah tiba masanya untuk kita serahkan tanggungjawab mempertahankan Lebanon itu kepada mereka sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Nizam menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyerahan Jalur Gemilang sempena penghantaran kumpulan pertama Malbatt 850-13.
Beliau juga sempat menyantuni dan beramah mesra bersama ahli keluarga anggota yang hadir pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd. Nizam berkata, selain membawa pulang sebahagian kelengkapan, latihan bersama tentera Lebanon akan diteruskan dengan beberapa peralatan akan ditinggalkan untuk mereka gunakan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah aset yang akan ditinggalkan belum dikenal pasti dan perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.
Penghantaran kontinjen MALBATT 850-13 yang melibatkan empat peringkat adalah bagi menggantikan MALBATT 850-12 yang akan menamatkan misi UNIFIL setelah berkhidmat selama 12 bulan. – KOSMO! ONLINE














