KUALA LUMPUR – Penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, direman polis selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pempengaruh Taiwan, Iris Hsieh Yun Hsi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata perintah reman terhadap Namewee dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
“Perintah reman ke atasnya (Namewee) dikeluarkan bermula hari ini hingga 10 November,” katanya ringkas hari ini.
Terdahulu, Namewee, 42, menyerah diri ke IPD Dang Wangi, awal pagi tadi, bagi membantu siasatan berhubung kematian pempengaruh Taiwan berusia 31 tahun itu.
Siasatan kes berkenaan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR) dipinda kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Wanita terbabit ditemui tidak sedarkan diri di dalam tab mandi bilik air di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, di sini sekitar pukul 1.40 petang, 22 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE















