fbpx
IRAZABAL (kanan), Figueiredo dan Machuca antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikekalkan penggantungan 12 bulan oleh FIFA.

FAM perlu fikir masak-masak heret FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOS mencecah ratusan ribu ringgit antara halangan besar harus difikirkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika mahu mengheret kes hukuman yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam masa terdekat.

Pandangan itu disuarakan peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Rose yang menyifatkan kos perbelanjaan tinggi bakal menambah beban FAM untuk mengheret kes ke CAS termasuk bayaran peguam luar boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

“Kos rayuan terdiri daripada perbelanjaan bakal dikeluarkan FAM. Kos-kos akan datang termasuklah bayar peguam luar dan CAS, yang mungkin mencecah beratus ribu ringgit.

“FAM perlu menilai sama ada perbelanjaan ini berbaloi berbanding objektif rayuan yang ingin dicapai,” katanya kepada Kosmo!.

Nik Erman turut menjelaskan FAM perlu mencari alasan rayuan baharu sebagai ‘bekalan’ ke CAS selepas menerima Motivated Decision yang bakal dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia itu minggu depan.

“Apabila memperoleh Motivated Decision (keputusan bertulis), alasan rayuan bergantung kepada kesalahan fakta atau undang-undang. Peluang FAM untuk berjaya di peringkat CAS bergantung kepada Motivated Decision.

“Objektif merayu juga penting, adakah FAM mengaku kesilapan dan hanya ingin mengurangkan hukuman atau FAM tidak mengaku silap dan ingin mengenepikan hukuman?

“Jika diteliti pada peringkat pertama (jawatankuasa tatatertib), pendirian diambil adalah FAM tiada pengetahuan dan niat, bukan menidakkan kesilapan.

“Pendirian sama mungkin diambil juga pada peringkat rayuan oleh peguam FAM. Pada pendapat saya, jika hanya ingin mengurangkan hukuman, mungkin tidak berbaloi membuat rayuan ke CAS,” katanya.

Pada September lepas, arena bola sepak negara digemparkan susulan hukuman FIFA menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen selain memberi denda kepada FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung FIFA ialah Imanol Machuca, Facundo Garces, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.

FAM dan tujuh pemain warisan telah membuat rayuan tetapi hukuman telah dikekalkan oleh FIFA berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan malam tadi.

Badan induk bola sepak negara itu diberikan masa 21 hari selepas menerima Motivated Decision untuk menghantar kes ke CAS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI