KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PH), hari ini membangkitkan keperluan untuk menambah jumlah pegawai termasuk penyelidik dan staf sokongan bagi memperkukuh operasi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan bahawa setiap laporan PAC sering mendapat perhatian luas bukan sahaja daripada blok kerajaan dan pembangkang, malah turut menjadi tumpuan media.
“Kita hanya ada empat penyelidik dan staf sokongan pun kurang. Justeru, terdapat keperluan untuk meningkatkan pegawai penyelidik,” katanya yang juga merupakan ahli PAC.
Cadangan turut disokong oleh Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang juga ahli PAC.
“Saya juga setuju (dengan cadangan berkenaan). Sebab kita lihat, PAC adalah satu institusi kepada kedua pihak (kerajaan dan pembangkang).
“Saya bersetuju (jika PAC) diberi sokongan dari segi sumber termasuk penyelidik supaya kita dapat melakukan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
PAC merupakan sebuah jawatankuasa Parlimen yang berperanan penting dalam memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti pengurusan kewangan kerajaan.- KOSMO! ONLINE














