PUTRAJAYA- Seramai 4,443 calon telah mendaftar untuk menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 yang mula dilaksanakan di 135 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 12 hingga 24 November depan.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, semua calon dinasihatkan merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan serta arahan perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi LP melalui pautan lp.moe.gov.my.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
KPM berkata, pihaknya juga cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas
peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI).
“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana,” katanya.
Calon juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara jika terlibat sebarang bencana.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM Tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















