PETALING JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim tekad untuk pertahankan nasib tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas rayuan yang dikemukakan susulan kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.
Menerusi status di laman Instastory yang dimuat naik Tunku Mahkota Ismail sebentar tadi, sokongan terhadap semua pemain terbabit akan diteruskan dengan mengheret kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“FIFA telah menyalahgunakan undang-undang. Artikel 22 hanya boleh menghukum mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu, tetapi tidak boleh dipakai kepada semua pemain ini.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ke atas pemain semua tidak berlandaskan undang-undang dann lebih kepada agenda politik.
“Ada yang memilih untuk menunding jari, ada yang memilih untuk membuat bising (komen negatif), manakala saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan para pemain walau apa sahaja kos (yang diperlukan) hingga ke akhirnya. Kini kes akan dibawa ke CAS iaitu sebuah badan bebas,” kata Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Terdahulu, tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA. – KOSMO! ONLINE















