LONDON – Pelumba ujian Honda, Aleix Espargaro percaya pasukan Jepun itu kini hampir untuk merealisasikan impian kembali mencipta kemenangan dalam perlumbaan MotoGP selepas menunjukkan peningkatan ketara sepanjang musim ini.
Honda yang sebelum ini berdepan tempoh suram sejak kali terakhir menjuarai gelaran pada 2019, kini kembali mencuri perhatian selepas melakukan rombakan besar pada jentera RC213V di bawah kendalian pengarah teknikal baharu, Romano Albesiano.
Hasilnya mula terserlah apabila Johann Zarco menghadiahkan kemenangan pada Grand Prix (GP) Perancis, manakala Joan Mir pula mengutip dua podium dalam saingan musim ini.
“Apabila saya tiba, keadaan agak tidak teratur, tetapi kami berjaya memperkemaskan banyak perkara. Kini pasukan ini benar-benar kompetitif, jauh melebihi jangkaan saya.
“Pada awal musim, sasaran untuk menang nampak seperti mimpi. Tapi sekarang kami sudah boleh ‘menyentuhnya dengan jari’,” ujar pelumba Sepanyol itu.
Menurutnya lagi, semangat juang barisan pelumba Honda termasuk Luca Marini semakin tinggi selepas melihat peningkatan ketara pada prestasi jentera musim ini.
“Johann (Zarco) dan Luca (Marinin) sangat bermotivasi. Bila keputusan semakin baik dan motosikal makin laju, mereka berani menguji untuk menekan hingga ke tahap maksimum,” kata Espargaro.
Peningkatan prestasi Honda turut menjadikan mereka antara tumpuan dalam pasaran pelumba musim 2027 selepas dikaitkan dengan beberapa nama besar seperti Jorge Martin dan Pedro Acosta.
Honda kini di tangga keempat carta pengeluar dan berpeluang menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik dan jika berjaya mengekalkan kedudukan itu, ia menjadi pencapaian terbaik mereka dalam kategori pengeluar sejak musim 2021. – AGENSI
								
								
											












