PRAGUE – Arsenal berpeluang untuk menyamai rekod berusia 122 tahun sekiranya mampu menamatkan aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tanpa bolos menentang Slavia Praha di Fortuna Arena awal pagi esok.
Ketika ini, skuad kendalian Mikel Arteta itu sudah meraih tujuh kemenangan tanpa bolos berturut-turut, menyamai pencapaian hebat yag pernah dilakukan oleh George Graham semasa membimbing The Gunners pada 1987.
Arteta dan barisan pemain kali ini akan mencipta satu lagi sejarah baharu, kali ini sebagai skuad Arsenal yang pertama merekodkan lapan kemenangan tanpa bolos berturut-turut sejak 1903 ketika kelab itu masih menggunakan nama Woolwich Arsenal.
Perkembangan itu menjadi kejayaan cemerlang oleh Arteta dan anak-anak buahnya yang kini dilihat sudah memiliki resepi kukuh di barisan pertahanan setiap kali mengharungi perlawanan.
“Sekali lagi, dari aspek bertahan, kami berjaya tampil dengan cukup baik,” jelas Arteta merujuk kepada kemenangan pasukannya ketika menewaskan Burnley 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Arteta kini berdepan perjalanan yang penuh berliku dan harus segera mencari idea bagi mencari jalan keluar selepas dihimpit isu kecederaan membabitkan dua tonggak utama, Viktor Gyokeres dan Martin Zubimendi.
Ketika ini, Arsenal tidak dapat menggunakan khidmat Martin Odegaard, Noni Madueke, Kai Havertz dan Gabriel Jesus, namun ketiadaan empat pemain itu dilihat tidak begitu memberi kesan kepada persembahan pasukan berbanding Gyokeres serta Zubimendi.
“Zubi (Zubimendi) juga sama, dia minta untuk ditukarkan, jadi sekarang kami perlu menanti dan lihat sejauh mana keadaan kecederaan yang dialaminya,” kata Arteta. – AGENSI














