PARIS – Jannik Sinner menamatkan kempen cemerlangnya di Paris Masters dengan penuh bergaya apabila menewaskan Felix Auger-Aliassime menerusi kemenangan straight set 6-4, 7-6 (7-4) sekali gus kembali merampas kedudukan pemain nombor satu dunia.
Kemenangan sulung pemain Itali itu di Paris hadir tepat pada waktunya selepas Carlos Alcaraz yang menduduki tangga teratas ketika ini tersingkir awal dalam kejohanan tersebut.
Sinner akan kembali ke puncak dunia, kedudukan yang pernah dipegangnya selama 65 minggu sejak Jun tahun lalu sebelum kehilangan takhta tersebut kepada Alcaraz selepas tewas di final Terbuka Amerika Syarikat pada September.
“Sudah tentu saya gembira. Dari awal minggu saya tahu peluang ini ada, tetapi setiap kali bermain, saya hanya cuba beri yang terbaik. Selebihnya saya serahkan pada keputusan di atas gelanggang,” kata Sinner.
Musim ini menyaksikan kebangkitan luar biasa pemain berusia 24 tahun tu biarpun terpaksa berehat tiga bulan pada awal tahun selepas dua kali dikesan positif bahan terlarang jenis clostebol pada Mac 2024.
Kemenangan di Paris menyaksikan Sinner kini mengumpul lima gelaran musim ini termasuk dua Grand Slam di Terbuka Australia dan Wimbledon selain menjadi kejuaraan Masters 1000 pertamanya sejak Shanghai pada Oktober tahun lalu.
“Setiap kejuaraan ada maknanya sendiri. Ada yang datang mudah, ada yang penuh cabaran, tapi semuanya istimewa,” tambahnya.
Bagi Auger-Aliassime, kekalahan di final menafikan peluangnya untuk mengesahkan tempat ke ATP Finals di Turin.
“Bukan mudah kalah di final, tapi kamu (Sinner) mendorong saya dan pemain lain untuk jadi lebih baik,” kata pemain Kanada berusia 25 tahun itu. – AGENSI














