KUALA LUMPUR – Saingan Piala Dunia Boling Padang 2025 bakal membuka tirai secara rasmi di Stadium Juara, Bukit Kiara bermula 4 hingga 8 November ini.
Penganjuran itu menyaksikan buat pertama kalinya Malaysia menganjurkan kejohanan boling padang dalam stadium tertutup.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk kelengkapan gelanggang.
“Hari ini kita melancarkan Piala Dunia Boling Padang yang pertama di Kuala Lumpur dan disertai 12 negara. Notis kita terima untuk jadi tuan rumah lebih kurang lima bulan.
“Ini kali pertama kita cuba infrastruktur dalam dewan dan pembelian gelanggang disediakan Perbadanan Stadium Malaysia. Perbelanjaan lebih kurang RM1 juta untuk persiapan ini.
“Untuk KBS, kita telah memperuntukkan RM500,000 untuk penganjuran Piala Dunia di sini. Bila sudah ada Piala Dunia, kita harap lebih ramai rakyat tahu mengenai boling padang,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika melancarkan kejohanan itu yang turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Arena Boling Padang, Bukit Kiara hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan harapan supaya gelanggang mudah alih itu dikekalkan di Stadium Juara sebagai tempat latihan atlet-atlet ke Sukan Komanwel Glasgow tahun depan.
“Infrastruktur bukan sahaja untuk pertandingan tetapi untuk latihan berpanjangan atlet-atlet negara kita hingga Jun dalam persiapan ke Sukan Komanwel,” ujar Hannah. – KOSMO! ONLINE














