PELUMBA sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli tidak perlu menunggu lama untuk menguji jentera Moto3 apabila dipanggil menggantikan pelumba MSi Racing, Ryusei Yamanaka dalam dua perlumbaan terakhir musim ini.
Penampilan pada Grand Prix (GP) Portugal dan Valencia harus digunakan sebaiknya oleh Danish bagi mendapatkan ‘rasa’ sebelum beraksi sepenuh masa bersama pasukan itu musim depan.
Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berterima kasih kepada MSi Racing kerana memberikan kepercayaan kepada anak buahnya itu bagi menggantikan Yamanaka yang cedera untuk berlumba di Portugal dan Valencia.
Beliau yang merupakan bekas pelumba Moto3 negara berkata, dua perlumbaan terakhir itu dianggap sebagai medan ujian buat Danish sebelum berdepan cabaran sebenar pada kempen 2026 nanti.
“Pertama sekali, semoga cepat sembuh buat Ryusei Yamanaka. Terima kasih kepada MSi Racing kerana memberikan peluang ini kepada Hakim Danish untuk dua perlumbaan terakhir di Portimao dan Valencia.
“Ia boleh dianggap sebagai ujian buat Danish untuk bekerja dengan pasukan sebelum memulakan musim penuh tahun depan. Saya tidak meletakkan harapan tinggi, cuma mahu Danish kompetitif dan bersaing di kelompok hadapan,” katanya.
Peluang keemasan itu hadir selepas Yamanaka terpaksa menamatkan musim lebih awal apabila menjalani pembedahan jari, sekali gus membuka ruang buat Danish dipanggil.
Sebelum ini, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu sudah pun mendapat peluang beraksi dalam saingan Moto3 apabila diberikan tiket wildcard pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu lalu.
Bagaimanapun, dia berdepan kekecewaan apabila tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas jenteranya mengalami kerosakan enjin di kala berpeluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 teratas. – KOSMO! ONLINE














