LONDON – Chelsea kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Gol tunggal perlawanan menerusi Joao Pedro pada minit ke-34 sudah cukup untuk memastikan The Blues pulang dengan tiga mata dan kembali memperbaiki kedudukan dalam carta EPL.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca gembira dengan kemenangan tersebut, lebih-lebih lagi mereka tidak melepaskan sebarang gol walaupun beberapa kali diasak jentera serangan Spurs.
“Saya gembira dengan tiga mata yang diraih hari ini, terutamanya kami menang menerusi aksi tanpa bolos. Jaringan memang penting dalam bola sepak tetapi saya juga mahu bertahan lebih baik.
“Secara keseluruhan, prestasi pasukan sangat bagus sama ada bertahan mahupun menyerang. Kami juga sentiasa memberi tekanan kepada mereka sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji pemain tengah, Moises Caicedo yang menunjukkan impak cukup besar pada perlawanan tersebut apabila mendominasi bahagian tengah padang selain melakukan umpanan kepada Pedro.
“Moi (Caicedo) menunjukkan bukti bahawa dia merupakan seorang pemain yang sangat bagus. Bagi saya, dia berada sebaris dengan Rodri sebagai pemain tengah terbaik di dunia,” ujar Maresca. – AGENSI=














