KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan polis kerana disyaki memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dituduh mencuri sebuah ‘power bank’ (pengecas bateri) baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian didapati berlaku di kawasan medan selera berhampiran sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini.
“Punca kejadian dipercayai suspek menuduh mangsa mencuri sebuah power bank milik rakan suspek yang terlibat.
“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hopistal Kuala Lumpur dan mengalami kecederaan luka kecil di bahagian dahi dan mulut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, hasil siasatan lanjut, polis membuat tangkapan ke atas tiga lelaki berusia 49 hingga 61 tahun di Kelantan dan Kuala Lumpur.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan jenayah kepada mangsa.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki ditendang beberapa kali di bahagian muka kerana dituduh mencuri. – KOSMO! ONLINE














