BANGKOK – Polis menyerbu sebuah hotel mewah dan menahan 28 warga Thailand serta seorang rakyat Filipina, kerana mengadakan pesta seks melibatkan penggunaan dadah, lapor akhbar Bangkok Post.
Serbuan dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan) semalam di sebuah hotel mewah di Sukhumvit Soi 13, daerah Watthana, Bangkok.
Kira-kira 50 anggota dan pegawai termasuk cawangan narkotik menyertai serbuan mengejut itu.
Di dalam suite hotel, polis menemui berpuluh-puluh lelaki hanya memakai seluar dalam. Ramai yang dilaporkan terlibat dalam aktiviti seksual ketika serbuan dilakukan.
Tiga orang didakwa setakat ini kerana memiliki dadah. Ujian air kencing mengesahkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan empat individu.
Mereka dibawa ke balai polis Lumpini untuk ditahan, manakala peserta lain disoal siasat.
Timbalan Ketua Biro Polis Metropolitan, Mejar Jeneral (Polis) Teeradej Thumsutee berkata, seorang anggota polis yang menyamar menyusup masuk ke pesta tersebut serta memberikan maklumat tentang acara tertutup itu.
“Acara itu dianjurkan oleh kumpulan sama yang sebelum ini ditangkap semasa operasi serupa di Thong Lor pada 8 Disember tahun lepas,” katanya. – AGENSI














