PASIR MAS – Seorang isteri yang sarat mengandung hanya mampu memeluk mayat suaminya yang ditembak sebanyak 18 das oleh dua lelaki yang dikenali di depan rumah mereka di Kampung Bering, Sungai Golok dekat Thailand semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu berlaku di depan mata Wan Fatihah Mat Hussin, 35, apabila melihat suaminya, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang merupakan peniaga beg terpakai secara dalam talian sedang memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah.
Wan Fatihah berkata, dua suspek datang dari arah belakang arwah suaminya bertindak melepaskan tembakan menggunakan dua pucuk pistol yang dipegang oleh mereka menyebabkan lelaki itu rebah dalam keadaan berlumuran darah.
“Kedua-dua lelaki suspek melepaskan tembakan sehingga peluru di dalam pistol masing-masing habis sebelum mereka berjalan meninggal kawasan rumahnya tanpa rasa bersalah.
“Mereka kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah trak pikap. Saya hanya mampu menjerit sekuat hati untuk meminta bantuan selepas melihat keadaan suami yang berlumuran darah,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perbukuran Islam Kampung Apam di sini hari ini.
Wan Fatihah memberitahu, suaminya ditembak pada bahagian leher selain tubuh badan dan hasil bedah siasatan di Hospital Sungai Golok mendapati arwah terkena 18 das tembakan.
Sementara itu, ahli keluarga yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 55, berkata, dua suspek dalam kejadian tersebut dipercayai merupakan dua beradik dan sepupu kepada Wan Fatihah.
Terdahulu jenazah Allahyarham Mohd. Fuad selamat disemadikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam di sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, rakyat Malaysia yang parah selepas dipercayai ditembak dalam kejadian di Sungai Golok, Thailand malam tadi meninggal dunia hari ini selepas lebih dua jam bertarung nyawa semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok. – KOSMO! ONLINE














