fbpx
GAMBAR HIASAN

Penggunaan ‘Muslim Choice’ mengelirukan, tidak sah – Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ yang diperkenalkan Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch – MFW), bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa,

Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, pengguna istillah itu juga boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.

Jelas beliau, berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya Jakim dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.

“Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang
membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam, yang dikeluarkan oleh
mana-mana pihak selain Jakim atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah.

“Ia juga menyalahi peraturan dan boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara serta mengelirukan pengguna Muslim,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Sirajuddin mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada Jakim atau MAIN/JAIN.

Terdahulu katanya, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan telah memaklumkan bahawa pengiktirafan ‘Muslim Choice’ yang dijalankan oleh pertubuhan ini boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI