KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3, Noah Dettwiler menunjukkan perkembangan positif selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Grand Prix (GP) Malaysia pada Ahad lalu dan kini dilaporkan telah sedar serta dipindahkan ke sebuah klinik swasta di sini untuk pemulihan lanjut.
Pasukan CIP Green Power dalam satu kenyataan media memaklumkan, keadaan pelumba dari Switzerland itu tidak lagi kritikal dan kini sudah mampu berkomunikasi dengan keluarga serta pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pada hari Rabu, doktor mengumumkan bahawa keadaannya tidak lagi kritikal dan sejak itu terus menunjukkan kemajuan yang luar biasa. Beliau kini sedar dan berkomunikasi dengan keluarga serta doktor,” menurut kenyataan itu kelmarin.
Dalam insiden yang berlaku semasa pusingan sighting lap Dettwiler mengalami kemalangan serius selepas dilanggar arah belakang oleh Jose Antonio Rueda dan menyebabkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah.
Dettwiler terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan kecemasan, termasuk pembuangan limpa untuk menghentikan pendarahan dalaman yang teruk dan pembedahan pertama pada kakinya yang mengalami patah terbuka.
“Dia telah dipindahkan dari unit rawatan rapi ke sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur untuk meneruskan proses pemulihannya.
“Beliau perlu menjalani satu lagi pembedahan pada kakinya, namun masih belum dapat dipastikan sama ada ia akan dijalankan di Malaysia atau selepas beliau dihantar pulang ke Switzerland,” tambah kenyataan itu.
Pihak pasukan, keluarga Dettwiler, dan bekas pelumba Tom Lüthi yang turut menguruskan kariernya, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada staf perubatan di litar, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Hospital Kuala Lumpur atas sokongan padu yang diberikan.














