PASIR MAS – Rakyat Malaysia yang maut dengan lapan das tembakan di Sungai Golok, Thailand semalam tidak sempat menimang cahaya mata sulungnya yang dijangka lahir pada 10 Disember ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam.
Ibu Allahyarham, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, jangkaan hari lahir cucunya itu sama dengan tarikh lahir Mohd. Fuad sekali gus memberi kesan yang mendalam kepada isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35.Menurutnya, Mohd. Fuad yang merupakan anak keempat daripada enam beradik sempat pulang ke rumahnya di Kampung Kepas Apam di sini pada Khamis lalu sebelum kembali ke Sungai Golok kira-kira pukul 3 petang semalam.
Katanya, arwah yang berniaga beg terpakai secara dalam talian bersama isteri itu sering berulang-alik ke sini kerana mereka sekeluarga tinggal di Sungai Golok.
“Mengikut jangkaan, Wan Fatihah akan bersalin pada 10 Disember ini iaitu sama dengan tarikh lahir Allahyarham Mohd. Fuad. Mereka berkahwin pada 2023 dan ini merupakan cahaya mata sulung mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kepas Apam di sini hari ini.
Zaiton memberitahu, anak dan menantunya yang sarat mengandung itu mengenali individu yang bertindak menyerang mereka dan menafikan kejadian tembakan tersebut berpunca daripada Mohd. Fuad mempunyai hutang.
“Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Apam Surau di sini selepas solat zuhur,” katanya. – KOSMO! ONLINE
								
								
											












