KEMBARA barisan kenderaan pacuan empat roda jenama premium di atas jalan raya bukan sekadar untuk kemegahan atau menarik perhatian semata-mata.
Sebaliknya, konvoi yang disertai seramai lebih 200 peserta melibatkan hampir 80 buah kenderaan Land Rover pelbagai model termasuk Defender, Discovery dan Series itu bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli.
Menerusi program anjuran Kelab LandRover Kelantan pada Ogos lalu itu, acara dikenali sebagai MAGHI Temu Mato 1.0 telah berlangsung dengan penuh meriah.
Program MAGHI Temu Mato 1.0 bukan sekadar konvoi kenderaan, sebaliknya manifestasi semangat perpaduan, kecintaan terhadap tanah air sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan.
Menurut Yang Dipertua Kelab LandRover Kelantan, Mohd. Pickry Hussein, program tersebut merupakan kegiatan tahunan kelab yang dilaksanakan bagi menghimpun pemilik dan peminat kenderaan Land Rover di seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang serta dari wakil luar negeri.
“Selain meraikan kemerdekaan negara, konvoi ini juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi minat terhadap kenderaan pacuan empat roda, selain memupuk rasa cinta kepada tanah air.

“Penganjuran acara ini jelas menunjukkan kekuatan komuniti pemilik Land Rover di negara ini, khususnya di Kelantan yang sememangnya terkenal dengan gaya hidup lasak dan aktiviti luar.
“Peserta bukan sahaja terdiri daripada ahli tempatan, malah beberapa ahli kelab dari negeri jiran seperti Terengganu, Pahang dan Perak turut menyertai konvoi ini bagi memeriahkan lagi program,” kongsinya kepada CitaRasa.
Laluan konvoi dimulakan dari Kem Pengakap, Pasir Mas menuju ke jalan utama ke Tanah Merah dan seterusnya berakhir di Jeli.
Aktiviti itu bukan sahaja menggalakkan interaksi antara peserta, malah menyebarkan semangat patriotik kepada masyarakat setempat apabila konvoi melalui kawasan mereka.
Dalam acara yang berlangsung pada 30 Ogos lalu itu, aktiviti telah bermula pada pukul 9.30 pagi dengan sesi berkumpul para peserta di Kem Pengakap Pasir Mas.

Kemudian, program diteruskan dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud pada pukul 10 pagi, sebelum pelepasan konvoi ke Jeli dilakukan.
Sekitar pukul 1 tengah hari, peserta tiba di Tapak Perkhemahan Gunung Reng untuk makan tengah hari, menunaikan solat zohor berjemaah serta memasang khemah.
“Pelbagai aktiviti santai dilakukan seperti menjala ikan, aktiviti air dan sukaneka kanak-kanak sebagai hiburan untuk peserta.
“Pada sebelah malam, acara makan malam dan barbeku diadakan sebelum diteruskan dengan sesi cabutan bertuah serta penyampaian hadiah.
“Kemuncak program berlangsung pada pukul 12 tengah malam apabila semua peserta meraikan ambang kemerdekaan dalam suasana penuh patriotik dan persaudaraan,” kata Mohd. Pickry.














