fbpx
SHERMAN (tengah) menjaringkan gol pembukaan KL City ketika menewaskan Kelantan TRW di Cheras semalam. - FARIZ RUSADIO

KL City mahu teruskan ‘kisah dongeng’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC, Risto Vidakovic puas melihat pasukan dapat meneruskan ‘kisah dongeng’ dengan menewaskan Kelantan The Real Warrior (TRW) 2-1 dalam aksi Liga Super di laman sendiri semalam.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Warga Kota kini gah di kedudukan kedua dengan mengutip 20 mata selain belum tewas dalam lapan perlawanan yang diharungi musim ini.

Menurut Vidakovic, karakter pemain musim ini sangat berbeza dan mereka bersedia untuk terus mengasak kedudukan carta liga kini diterajui oleh juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya rasa kita bermula dengan perlahan pada perlawanan ini tetapi situasi berbeza pada babak kedua dengan pemain mula menunjukkan aksi agresif untuk memburu kemenangan.

“Mereka berjaya mencipta beberapa peluang keemasan dan memanfaatkan kesempatan itu sebaik mungkin. Ini adalah aksi yang sukar dan saya lega kita dapat meraih tiga mata.

“Secara jujur, saya sangat bangga dengan apa yang mereka pamerkan kerana pasukan kali ini memiliki mentaliti yang berbeza berbanding sebulan yang lalu.

“Saya harap kerja keras ini dikekalkan kerana mahu penyokong yang hadir bangga setiap kali menyaksikan pasukan beraksi,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan TRW, Akmal Rizal Ahmad Rakhli enggan menyalahkan pemain apabila gagal mencuri mata berharga pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu.

“Semua pemain telah menunjukkan komitmen penuh dan saya gembira dengan semangat juang mereka walaupun kita tewas,” katanya.

Gol-gol pasukan tuan rumah berjaya disudahkan oleh Kpah Sherman pada minit ke-64 dan Zhafri Yahya (m-84), manakala pelawat meraih jaringan sagu hati hasil rembatan menarik Syafik Ismail pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI