NOTTINGHAM – Pengurus Nottingham Forest, Sean Dyche menuntut perubahan terhadap penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas pasukannya terus menjadi mangsa keputusan kontroversi ketika seri 2-2 menentang Manchester United di City Ground kelmarin.
Forest ketinggalan menerusi jaringan Casemiro hasil sepakan sudut yang diberikan meskipun ulangan menunjukkan bola masih dalam permainan oleh Nicolo Savona sebelum keluar garisan.
Insiden itu menambah luka Dyche yang sudah dua minggu berturut-turut berang dengan kesilapan pengadilan selepas terdahulu Forest turut dibolosi daripada sepakan sudut yang tidak sepatutnya ketika tewas 0-2 kepada Bournemouth minggu lalu.
“Dua minggu berturut-turut, perkara sama berulang. Ia pelik. Minggu lalu jelas satu kesilapan dan saya pula yang kena kad kuning. Macam mana saya boleh dikenakan tindakan atas kesilapan yang terbukti salah?
“Kemudian hari ini pula, saya tak faham bagaimana pembantu pengadil yang berdiri 70 ela jauhnya, dihalang tiang gol, boleh nampak bola keluar. Saya sendiri yang berada di tempat tak betul pun tahu bola itu masih dalam permainan. Sesuatu yang tak kena di sini,” kata Dyche.
Mengikut peraturan semasa, VAR tidak dibenarkan campur tangan sekiranya sepakan sudut diberikan secara salah, meskipun situasi itu akhirnya menghasilkan gol. – AGENSI














