NEW DELHI – Sebuah mahkamah di Delhi mengarahkan seorang isteri mengembalikan rumah kepada suaminya setelah dia mengusir lelaki tersebut dari hartanah itu sebelum ini, lapor laman berita NDTV hari ini.
Hakim Ankur Jain diarah berbuat demikian selepas mendapati wanita berkenaan gagal mengemukakan dokumen yang membuktikan hak milik ke atas rumah tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas hakim mendengar rayuan yang difailkan oleh suami berkenaan, yang menuntut semula hak ke atas hartanah tersebut selepas mendakwa isterinya bertindak mengusirnya kerana perselisihan faham.
Peguam Manish Bhadauria mewakili pihak suami dalam kes tersebut.
Dalam perintah bertarikh 29 Oktober lalu, mahkamah menyatakan bahawa wanita itu tidak memiliki sebarang dokumen hak milik untuk membuktikan bahawa rumah tersebut miliknya.
Hakim juga mendapati rumah tersebut didaftarkan atas nama si suami.
“Oleh itu, berdasarkan perkara di atas, mahkamah berpendapat bahawa defendan tidak boleh dianggap mempunyai sebarang hak ke atas harta yang dipertikaikan,” kata hakim tersebut.
Hakim turut mengarahkan wanita berkenaan supaya menyerahkan pemilikan harta tersebut secara aman kepada suaminya. – AGENSI














