fbpx
AEDY FADLY (kiri) meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di Susur Keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Cagar, Johor Bahru, semalam. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

VEP: Warga Singapura bakal ‘disekat’ keluar Malaysia mulai 15 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bakal disaman dan tidak dibenarkan keluar dari Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penguatkuasaan penuh terhadap pemandu yang mencabar undang-undang negara akan dikuatkuasakan bermula 15 November ini.

Menurutnya, pelaksanaan penggunaan VEP di pintu sempadan Malaysia-Singapura dilaksanakan sejak 1 Julai lalu dan tempoh bertolak ansur sudah tamat.

“Mana-mana kenderaan persendirian individu atau syarikat yang tiada VEP, VEP tamat tempoh atau berstatus pradaftar, tindakan saman akan dikenakan.

“Mereka wajib menyelesaikannya serta-merta, yang tak ada VEP kena daftar segera, kalau tak ada mereka tak boleh keluar dari Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di Susur Keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Cagar di sini malam semalam.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, sehingga Oktober, sebanyak 303,183 tag RFID bagi kenderaan persendirian individu serta 31,643 bagi kenderaan syarikat telah dipasang.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sejumlah 55,486 kenderaan telah diperiksa dan 4,028 kompaun dikeluarkan terhadap kesalahan tiada VEP membabitkan kutipan RM1.2 juta.

Selain itu, jelasnya, 1,355 notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan syarikat yang masih berstatus pradaftar.

“Operasi kini tidak terhad di kawasan sempadan Johor Bahru sahaja, sebaliknya diperluas ke negeri lain termasuk Melaka bagi mengesan kenderaan Singapura yang bergerak lebih jauh ke dalam negara.

“Pemilik kenderaan asing diingatkan supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan kesulitan ketika masuk atau keluar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, bayaran saman boleh dibuat di kaunter JPJ, kaunter bergerak, pusat pendaftaran VEP di Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar serta secara dalam talian.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI