KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Lebuh Raya Kuala Lumpur–Seremban menghala ke pusat bandar, berhampiran Plaza Tol Smart Tunnel, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 6.35 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RSX150 berwarna kuning hilang kawalan selepas tayar kenderaan itu pecah.
“Mangsa kemudian terbabas dan melanggar penghadang tengah jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HTCM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan saksi bebas dan turut membuat permohonan rakaman televisyen litar tertutup di sekitar lokasi bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zuhairi Mat Zain di talian 017-973 2731, Balai Trafik Kuala Lumpur di 03-2071 9999, atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














