KUALA LANGAT – Seorang penuntut kolej vokasional maut dalam insiden menyayat hati apabila dilanggar rakan sendiri selepas terjatuh dari motosikal di Kilometer 7.3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, remaja lelaki itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. Rakannya yang juga parah di kepala telah dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut. Kedua-dua mereka berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Banting ke Saujana Putra itu telah hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di lorong kiri jalan.
“Pada masa sama, rakannya yang motosikal Yamaha LC135 dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang terjatuh di atas jalan. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, pelanggaran itu turut menyebabkan penunggang LC135 tercampak ke permukaan jalan dan cedera di bahagian kepala. Kedua-dua mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.
Kata Akmalrizal, siasatan mendapati kedua-dua penunggang merupakan penuntut kolej dan mempunyai lesen memandu yang sah. – KOSMO! ONLINE














