fbpx
Mohamed Khaled mempengerusikan mesyuarat pada ADMM-Plus ke-12, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

Negara besar, kecil mesti tegas tentang sebarang pelanggaran undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Semua negara sama ada besar atau kecil mesti berdiri teguh menentang sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan (ADMM)-Plus ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, prinsip undang-undang antarabangsa perlu sentiasa dijunjung tinggi dalam setiap tindakan dan dasar pertahanan bagi memastikan keamanan serta kestabilan global terus terpelihara.

“Di atas segalanya, satu perkara mesti kita junjung iaitu undang-undang antarabangsa. Setiap negara, besar atau kecil, mesti tegas menentang sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” katanya.

Mohamed Khaled turut menzahirkan keprihatinan mendalam Malaysia terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan Palestin.

Beliau menegaskan bahawa kebuluran dan penderitaan tidak seharusnya dijadikan senjata perang oleh mana-mana pihak.

“Malaysia melahirkan keprihatinan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza dan Palestin, di mana kebuluran serta penderitaan digunakan sebagai senjata perang.

“Malaysia menggesa semua negara, khususnya kuasa besar, menggunakan pengaruh mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia mengalu-alukan Pelan Komprehensif Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik di Gaza, di samping memuji pendekatan dialog konstruktif yang diambil oleh Kemboja dan Thailand dalam menyelesaikan pertikaian sempadan mereka.

“Malaysia memuji Kemboja dan Thailand kerana mengamalkan dialog konstruktif dalam menyelesaikan pertikaian sempadan. Kami amat menghargai sokongan rakan-rakan, khususnya Amerika Syarikat, negara-negara ASEAN lain serta China dalam mempromosikan penyelesaian damai ini,” ujarnya.

Mohamed Khaled menegaskan, semangat kerjasama dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa perlu terus dipelihara sebagai asas kepada keamanan dan kestabilan rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI