fbpx
HAKIM Danish ketika berentap di GP Malaysia - FARIZ RUSADIO

Moto3: MSi Racing Team panggil Hakim Danish ke Portugal dan Valencia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Rezeki tidak pernah salah alamat buat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli apabila diberi peluang beraksi dalam dua perlumbaan terakhir Kejuaraan Dunia Moto3 musim ini bersama MSI Racing Team, lebih awal daripada jadual debut rasminya pada 2026.

Peluang keemasan itu hadir selepas pelumba utama pasukan, Ryusei Yamanaka dari Jepun, terpaksa menamatkan musimnya lebih awal akibat pembedahan jari, sekali gus membuka laluan kepada pelumba berusia 18 tahun itu untuk tampil sebagai pengganti sehingga akhir musim.

Pengumuman tersebut bakal melonjakkan semangat Hakim Danish yang kini sedang berentap dalam perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di Catalunya.

Selepas perlumbaan di JuniorGP, Hakim Danish akan memberi tumpuan kepada perlumbaan di Moto3 di GP Portugal (7-9 November) dan pusingan penutup tirai di Valencia (14-16 November), yang bakal menjadi medan pendedahan berharga untuk menyesuaikan diri dengan jentera dan struktur kerja pasukan di pentas dunia sebelum memulakan cabaran sepenuh masa pada tahun hadapan.

“Ryusei Yamanaka menjalani pembedahan pada jari kelingking kirinya dan akan terlepas baki saingan kejuaraan musim ini.

“Bagi Hakim Danish dua perlumbaan ini bakal menjadi pengalaman berharga yang akan membantunya membuat lonjakan ke Kejuaraan Dunia penuh pada tahun 2026,” kata pasukan tersebut hari ini.

HAKIM Danish meraikan peminat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad lalu.

Peluang beraksi lebih awal itu turut dianggap sebagai langkah strategik pasukan bagi memberi ruang kepada pelumba muda negara selepas kekecewaan sewaktu penampilan wildcard di Grand Prix Malaysia hujung minggu lalu.

Hakim Danish terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas jenteranya mengalami kerosakan enjin, sedangkan ketika itu beliau berpeluang menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

Kegagalan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi pembakar motivasi menjelang dua perlumbaan terakhir musim ini sebelum memulakan misi sepenuhnya sebagai pelumba tetap Kejuaraan Dunia Moto3 2026.

Pelumba Terengganu itu akan bergandingan dengan Yamanaka musim depan bersama MSi Racing Team selepas ditawarkan kontrak profesional selama setahun bersama pasukan berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI