PENYERANG import Selangor FC, Willian Lira melaungkan amaran sedia untuk terus menggegar gawang selepas meledak gol pertama buat pasukan sejak berhijrah daripada kelab Emiriyah Arab Bersatu, Hatta pada Julai lepas.
Sebagai rekod, prestasi Lira sebelum ini dikritik hebat selepas gagal memberikan impak yang diharapkan selain dibelenggu kecederaan sejak dua bulan lalu.
Namun, Lira berjaya mencetak nama selaku penjaring ketika aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan Gergasi Merah menang dengan agregat 6-3.
Pemain import dari Brazil berusia 32 tahun itu mengakui lega dapat menamatkan kemarau jaringan dan berharap prestasi konsisten dapat diteruskan ketika bertemu Sabah FC dalam saingan Liga Super, malam ini.
“Selepas dua bulan, saya kini kembali bersama dengan pasukan (pulih daripada kecederaan). Saya harap akan ada lebih banyak (jaringan gol) selepas ini.
“Apa yang penting, kita perlu fokus pada aksi menentang Sabah untuk memastikan pasukan kembali berada di landasan kemenangan,” katanya yang pernah mewakili Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum ini.
Sementara itu, pengendali interim Selangor FC, Christophe Gamel berharap barisan pemain senior dapat memikul tanggungjawab dan menunjukkan contok dengan lebih baik dalam misi memastikan pasukan melakar keputusan positif.
“Kalau ada taktikal tidak menjadi, saya tidak akan tunggu sampai minit akhir untuk buat pertukaran. Ini kerana saya mahu pasukan kekal agresif (termasuk pemain senior).
“Tiga perlawanan seterusnya bakal menjadi sukar kerana kita kehilangan beberapa tonggak penting ekoran kecederaan,” katanya.














