LAS VEGAS, NEVADA – Seorang lelaki terkejut apabila menemukan lebih 300 timbunan abu mayat berselerak di sebuah gurun di negeri Nevada, Amerika Syarikat, lapor akhbar The Sun UK.
Penemuan itu dibuat berhampiran kawasan terpencil Searchlight, kira-kira satu jam dari luar bandar Las Vegas pada 28 Julai lalu.
Setiap timbunan abu tidak mengandungi sebrang maklumat sekali gus menyukarkan penyiasat untuk mengenal pasti pemiliknya.
Pasukan pemulihan dari Rumah Mayat dan Tanah Perkuburan Palma kemudian menemukan kira-kira 315 abu di tempat kejadian. Ia kemudian diletakkan di dalam tempayan secara berasingan.
Biro Pengurusan Tanah (BLM) mengesahkan abu tersebut adalah sisa pembakaran mayat manusia, manakala siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat aktiviti pelupusan secara komersial yang menyalahi dasar penggunaan tanah awam.
Ogos lalu, penyiasat menemukan pengikat kabel yang kebiasaannya digunakan oleh rumah pengebumian untuk menutup beg abu, beserta tempayan digunakan untuk menyimpan abu atau tulang mayat yang dibakar.
Beberapa sumber memberitahu saluran berita 8 News Now bahawa rumah pengebumian yang ditutup baru-baru ini bertanggungjawab atas pembuangan besar-besaran abu tersebut. – AGENSI














