PETALING JAYA – Kurangnya kasih sayang, perhatian dan komunikasi berkesan dalam institusi kekeluargaan dikenal pasti antara punca utama peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur yang kini semakin membimbangkan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ramai remaja pada masa kini mencari pengiktirafan dan kasih sayang di luar rumah sehingga mudah terjerumus ke dalam hubungan tidak sihat dan berisiko, yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi mangsa atau pelaku jenayah seksual.
“Fenomena ini mencerminkan kemerosotan nilai moral dalam kalangan generasi muda, kelemahan kawalan sosial, serta kekurangan kefahaman mengenai harga diri dan tanggungjawab terhadap diri serta masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara punca lain yang dikenal pasti termasuk pendedahan melampau kepada bahan lucah dan kandungan tidak bermoral di media sosial, pengaruh rakan sebaya, kelalaian ibu bapa dalam memantau anak-anak serta kekurangan pendidikan seks dan moral yang komprehensif di sekolah.
“Dalam dunia digital hari ini, kanak-kanak dan remaja boleh mengakses pelbagai bahan tidak sesuai hanya melalui telefon pintar tanpa sebarang penapisan atau kawalan sewajarnya. Ini sangat membimbangkan kerana ia membuka ruang kepada pengaruh negatif yang boleh membawa kepada tingkah laku berisiko,” ujarnya.
Tan Sri Lee berkata, satu pendekatan menyeluruh dan bersepadu perlu dilaksanakan segera melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti serta badan bukan kerajaan.
Beliau mencadangkan supaya pendidikan seks dan moral yang komprehensif diperkenalkan di sekolah, bukan sekadar berkisar kepada aspek biologi, tetapi juga nilai menghormati tubuh badan, sempadan pergaulan dan tanggungjawab sosial.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu dilatih dan dibimbing agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta mempunyai kemahiran mengawal penggunaan internet dan media sosial.
Katanya, pemantauan terhadap kandungan media sosial dan platform digital perlu dipertingkatkan kerana ia menjadi antara punca utama pendedahan awal kepada bahan lucah dan budaya songsang dalam kalangan remaja.
“Penguatkuasaan undang-undang terhadap pelaku jenayah seksual dan mereka yang menyebarkan bahan lucah kepada golongan bawah umur juga perlu dipertingkatkan tanpa kompromi,” katanya.
Tambahnya, usaha mencegah jenayah seksual remaja bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Ibu bapa, guru dan komuniti perlu berganding bahu memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, berdisiplin dan berakhlak mulia. Masa depan negara bergantung kepada kesejahteraan moral serta mental generasi muda hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














