TAMPIN – Kes murid sekolah terjatuh dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai pada 27 September lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ia selepas siasatan mendapati kejadian itu merupakan satu kemalangan dan tiada unsur pengabaian.
“Untuk kes yang berlaku di Lenggeng, kita buka siasatan di peringkat awal di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jadi kita siasat secara menyeluruh untuk melihat sama ada berlaku pengabaian atau penganiayaan terhadap kanak-kanak itu.
“Siasatan yang dilengkapkan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan dikategorikan sebagai NFA.
“Pihak kami berpuas hati apabila siasatan dibuat dan kita mendapati kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh kemalangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Negeri Sembilan di Taman Kasturi, Gemencheh, di sini hari ini.
Pada 27 September lalu, seorang murid tahun tiga meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai. – KOSMO! ONLINE














