PETALING JAYA – Riuh di media sosial sekali lagi apabila bintang K-Pop, G-Dragon meninggalkan tanda suka pada hantaran video yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di akaun Instagram beliau.
Hantaran berkenaan memaparkan rakaman persembahan G-Dragon semasa majlis makan malam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan malam tadi.
Tidak lama selepas video itu dimuat naik, peminat K-Pop tempatan mula menyedari bahawa akaun rasmi G-Dragon telah menekan butang ‘like’ pada hantaran tersebut sekali gus mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan dan antarabangsa.
Ruangan komen Instagram Anwar terus dibanjiri ribuan komen daripada peminat yang teruja dan bangga melihat interaksi tidak dijangka itu.
Ramai yang menganggap ia sebagai detik bersejarah apabila seorang ikon global seperti G-Dragon memberi perhatian kepada hantaran pemimpin Malaysia.
“G-Dragon ‘like’ hantaran PM kita! Tak sangka K-Pop dan politik boleh bersatu,” tulis Risya.
“GD dah ‘like’ weh hantaran PMX. Menyala, pasti konsert seterusnya di Malaysia,” komen Siti pula.
Ada juga yang berseloroh bahawa tindakan itu membuktikan ‘pengaruh Malaysia sampai ke Korea’, manakala segelintir peminat berharap ia menjadi titik permulaan kepada persembahan khas atau konsert G-Dragon di Malaysia.
“Bila dia (G-Dragon) dah ‘like’ maksudnya pengaruh Malaysia dah sampai sana hahaha. Harap konsert seterusnya jangan ‘skip’ Malaysia ya,” komen Azim. – KOSMO! ONLINE













