KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan menegaskan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) perlu kekal bukan sekadar satu mekanisme kerjasama pertahanan, tetapi sebagai kekuatan untuk keamanan serantau.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, melalui kekuatan itu juga ia akan menjadi mercu tanda kestabilan dan keyakinan di rantau ASEAN.
“Usaha kolektif kita hari ini akan membentuk rantau yang bakal diwarisi anak-anak kita,
“Sebuah rantau yang ditakrifkan bukan oleh permusuhan atau perpecahan, tetapi oleh kerjasama, kestabilan, dan kemakmuran bersama,”katanya ketika berucap pada majlis penutup ADMM-Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi ADMM-Plus berkata, sepanjang tempoh 15 tahun, ADMM-Plus telah membuktikan bahawa dialog dan keterlibatan berterusan adalah pertahanan paling berkesan.
“Melalui semangat keterlibatan ini, kita telah berjaya menangani cabaran keselamatan yang kompleks dan sentiasa berubah.
“Bukan sebagai negara-negara berasingan, tetapi sebagai satu kumpulan dengan tanggungjawab dan tujuan bersama,”katanya.
Justeru Mohamed Khaled menyeru supaya kerjasama itu terus diperkukuh dengan semangat keterbukaan, kepercayaan dan rasa hormat bersama.
Pada ucapan penutup itu juga, beliau turut berterima kasih kepada rakan-rakan menteri dan delegasi atas persahabatan dan solidariti
“Terima kasih juga kerana datang ke Malaysia untuk menyokong ASEAN. Bersama-sama, kita memastikan ASEAN kekal kuat, memastikan rantau kita kekal aman, dan memastikan ADMM-Plus kekal sebagai tiang kestabilan dalam dunia yang sering berpecah belah,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














