KLANG – Sebanyak 3,683 ‘hot spot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiga negeri di Pantai Timur mencatat jumlah tertinggi iaitu Pahang (760 lokasi), Kelantan (618) dan Terengganu (460).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, data terkini itu diperoleh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pemfokuskan juga dibuat di kawasan bandar terutama berkepadatan tinggi penduduk.
“Tiga negeri pantai timur majoritinya dianggap kawasan tradisi banjir dan penduduk telah membuat persiapan awal setiap tahun. Kita juga akan menumpukan kawasan bandar yang dilanda banjir kilat termasuk akibat fenomena air pasang besar,” katanya di sini, hari ini.
Beliau menambah, seramai 15,620 pegawai dan anggota bomba bersiap siaga ditugaskan sepanjang tempoh MTL kali ini meliputi Pasukan Sepenuh Masa dan Pasukan Bomba Bantuan di 343 balai bomba.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 983 aset bomba telah disediakan termasuk jentera darat, marin serta helikopter bagi tinjauan udara.
Nor Hisham berkata, setakat ini pihaknya belum mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada anggota, namun hanya 20 peratus kebenaran bercuti akan dibenarkan sepanjang tempoh MTL. – KOSMO! ONLINE














