LONDON – Sebuah kediaman digelar ‘rumah paling berhantu di Britain’ akhirnya mendapat pemilik baharu selepas ia gagal dijual selama 12 tahun, lapor laman berita Manchester Evening News kelmarin.
Amy Waine, 38 dan Jarrad Cutting, 40, yang berasal dari Australia membeli rumah di Essex itu yang diberi nama The Cage awal tahun ini pada harga £230,000 (RM678,500).
Pemilik terdahulu, Vanessa Mitchell telah berusaha menjual rumah menyeramkan itu selama 12 tahun selepas mendakwa kerap melihat hantu dan pernah ditolak sehingga terjatuh ketika hamil.
Rumah dengan dua bilik tidur yang dibina pada abad ke-16 itu mempunyai sejarah yang menakutkan.
Ia pernah digunakan sebagai penjara bagi wanita yang dituduh mengamalkan sihir pada tahun 1500-an sementara menunggu perbicaraan atau hukuman mati.
Amy dan Jarrad yang merupakan penyiasat paranormal dan pakar pengusiran hantu mendakwa, berlakunya peningkatan kejadian pelik sejak kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut bermula.
Pasangan itu berkata, mereka sering mendengar bunyi-bunyian aneh, manakala lampu bilik tidur menyala sendiri pada pukul 3 pagi (waktu tempatan) sejak berpindah ke rumah tersebut.
“Kami sebenarnya tidak pernah mencari atau berniat untuk memiliki rumah berhantu.
“Namun, ketika berbual dengan rakan tentang The Cage, kami diberitahu bahawa rumah itu sebenarnya sedang dijual.
“Kami menyukai rumah itu serta kisah-kisah mengenainya. Beberapa bulan kemudian, kami pun menjadi pemiliknya,” kata Amy. – AGENSI














