fbpx
Zahari ketika bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya hari ini.

[VIDEO] ‘Keluarga kami sudah dua tahun kena tanggung fitnah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keluarga kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin merayu agar pihak berkuasa meneruskan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu secara telus dan adil.

Datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd. Reba, 57, berkata walaupun keputusan terhadap ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, telah diputuskan oleh mahkamah hari ini, persoalan tentang siapa pembunuh sebenar masih belum terjawab.

“Walaupun keputusan telah dibuat, kami masih mahu tahu status siasatan pembunuhan Zayn Rayyan. Pembunuh masih ada di luar sana.

“Sehingga kini, polis gagal menjalankan siasatan. Saya minta pihak bertanggungjawab meneruskan siasatan dengan telus dan adil,” katanya kepada media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Menurut Zahari, keluarga sudah dua tahun menanggung fitnah dan tekanan sejak kejadian tragis itu, namun tetap memilih untuk bersabar dan menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Selama dua tahun kami telah dianiaya dan difitnah, tapi kami sabar. Kami berdoa agar orang yang memfitnah dan menganiaya kami akan menerima balasan, kalau bukan di dunia, di akhirat pasti,” ujarnya.

Zahari turut meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap menantunya, namun tetap menghormati keputusan tersebut.

“Hati siapa yang tak sedih bila anak atau menantu dipenjara. Tapi kami reda dan akan terus berjuang untuk dapatkan keadilan,” katanya sebak.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan anak sulungnya itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal antara 5 dan 6 Disember 2023 di Damansara Damai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI