PUTRAJAYA- Syarikat penyedia aplikasi OMi diminta untuk memberi penjelasan berhubung langkah dan mekanisme sistem verifikasi umur yang diguna pakai oleh platform media sosial itu ketika ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga telah diminta untuk meneliti cadangan penggunaan sistem pengesahan identiti pengguna (eKYC) sebagai syarat menggunakan aplikasi sosial atau temu jodoh, OMi.
Beliau berkata, MCMC juga akan memanggil pihak syarikat yang mengusahakan aplikasi tersebut untuk mendapatkan penjelasan.
“Kita juga akan pertimbangkan untuk menggunakan eKYC yang menggunakan dokumen yang diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi pengesahan umur dan identiti.
“Kita akan ambil tindakan. Jadi, saya telah minta kerana OMI ni dia adalah aplikasi yang sedikit berbeza,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














