IPOH – Kegiatan pasangan suami isteri menjadikan rumah sewa mereka di Taman Assamara, Taiping sebagai lokasi ‘mencuci’ dadah sebelum diedar terbongkar dengan tertangkapnya kedua-dua suspek kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pada pukul 5.15 petang di tepi jalan berhampiran kawasan pasar di Pokok Assam.
Katanya, dengan dipandu arah suspek, polis menyerbu sebuah rumah sebelum menahan suspek wanita berusia 26 tahun dan merampas enam peket plastik lutsinar mengandungi methamphetamine seberat 5.06 kilogram.
“Pemeriksaan di rumah itu turut menjumpai cecair disyaki mengandungi dadah seberat 84.75 liter. Selain itu, turut ditemui beberapa peralatan dan bahan kimia dipercayai untuk proses pembersihan semula methamphetamine yang tidak berkualiti sebelum dijual di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, nilai dadah yang dirampas berjumlah RM2.8 juta dan boleh digunakan seramai 51,486 penagih.
Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket itu mula aktif sejak Ogos lalu dan bahan terlarang tersebut disyaki diedarkan untuk kawasan di luar Perak.
“Berdasarkan ujian saringan air kencing, suspek lelaki positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan. Siasatan sedang dijalankan bagaimana pasangan itu memperoleh bekalan dadah serta penglibatan suspek wanita dalam kegiatan tersebut,” katanya.
Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sitaan kereta jenis Honda dan Nissan Navara bernilai RM100,000. Mereka direman tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
