MELAKA – Seorang remaja lelaki ditemui lemas di dalam kolam sedalam kira-kira 3 meter ketika mengambil upah menjaga kebun di Lorong Gaung Piring, Cheng, di sini, semalam.
Mangsa, Gan Ping Hong, 18, dikatakan keluar bekerja seorang diri sebelum ditemui lemas di dalam kolam oleh rakannya kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mangsa dipercayai mula bekerja sekitar pukul 8.30 pagi dan kali terakhir dilihat menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada pukul 9 pagi.
Katanya, saksi kejadian iaitu rakan mangsa mendakwa dia cuba menghubungi remaja terbabit sejak pukul 11.30 pagi, namun tidak berjaya dan datang ke kebun tersebut untuk mencarinya.
“Dia bagaimanapun tidak menjumpai mangsa dan terus keluar mendapatkan bantuan rakan yang lain untuk bersama-sama mencari si mati.
“Mereka kemudian ternampak tong air berhampiran kolam sebelum turun mencari si mati dan menjumpainya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Cheng yang kemudian tiba di lokasi mengesahkan mangsa bagaimanapun telah meninggal dunia.
Menurut Christopher, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam ketika menyiram anak pokok gaharu di kebun berkenaan.
“Pemeriksaan awal di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah, mangsa bekerja seorang diri dan dipercayai terjatuh ke dalam kolam sedalam kira-kira 10 kaki sebelum ditemukan tidak sedarkan diri.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan keputusan mendapati punca kematian adalah lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
