fbpx
Shahrul Nizam, Mohamad Amir (topi hitam) dan Citra Angrini dibawa keluar selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Pegawai tentera, isteri dan koperal didakwa palsu sebut harga LIMA’25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel bersama isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengemukakan sebut harga palsu bernilai RM24,200 bagi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), Mei lalu.

Shahrul Nizam Shaf’in, 51, dan Citra Angrini Alam Mappiase, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Turut mengaku tidak bersalah adalah Koperal (Tentera Udara Diraja Malaysia) Mohamad Amir Bakri Che Abdul, 32.

Berdasarkan pertuduhan, Citra Angrini yang kini hamil lima bulan didakwa memperdayakan Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) Subang dengan mengemukakan sebut harga palsu bagi Syarikat Protective Trading & Advisory Services bernilai RM24,200 di dalam sistem e-Perolehan MPOU TUDM Subang.

Ia seterusnya dengan sengaja mendorong Ketua Staf MPOU itu meluluskan sebuah syarikat D Draxis Group Sdn Bhd sebagai pembekal perolehan alatan sokongan bagi penugasan LIMA’25.

Shahrul Nizam yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan bersama Mohamad Amir bertugas di bahagian perolehan TUDM pula didakwa bersubahat dengan Citra Angrini bagi tujuan sama.

Pasangan suami isteri itu melakukan kesalahan itu di Kota Damansara manakala Mohamad Amir di MPOU Subang pada 13 Mei lalu.

Pertuduhan bagi Citra Angrini dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan sementara Shahrul Nizam dan Mohamad Amir dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alis Izzati Azurin Mohd. Rosdi mencadangkan jaminan bagi setiap tertuduh sebagai RM20,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah dan Tunku Muhammad Sulaiman Tunku Harmy memohon jaminan serendah RM5,000 bagi Citra Angrini dan Shahrul Nizam.

“Kedua-dua mereka pasangan suami isteri. Shahrul Nizam kini digantung tugas manakala Citra Angrini tidak bekerja serta hamil lima bulan.

“Mereka mempunyai empat anak berusia 4 hingga 16 tahun,” katanya.

Mohamad Amir yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan menanggung isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada Citra Angrini manakala berjumlah RM7,000 kepada Shahrul Nizam dan
Mohamad Amir dengan masing-masing bersama seorang penjamin. Syarat tambahan pendakwaan turut dibenarkan mahkamah.

Sebutan semula kes bagi semua tertuduh pada 8 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

‌‎

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI