YALA, THAILAND – Pihak berkuasa Thailand mengesan beberapa pangkalan haram yang dirobohkan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand dekat Kelantan baru-baru ini menjadi antara laluan untuk kegiatan penyeludupan senjata api.
Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, siasatan lanjut mendapati, kawasan tersebut menjadi ‘lubuk’ kepada penyeludup yang membeli pelbagai jenis senjata api dari negara ini untuk diseludup ke Malaysia.
Menurutnya, bagaimanapun, senjata api yang diseludup itu bukan diperbuat di Thailand, tetapi dijual secara haram di negara ini.
“Kita dapat maklumat bahawa ada beberapa pangkalan haram yang dirobohkan oleh pihak berkuasa di Kelantan baru-baru ini merupakan laluan untuk kegiatan menyeludup senjata api.
“Berdasarkan rampasan yang dijalankan sebelum ini, senjata api itu akan diseludup ke Malaysia melalui pangkalan haram. Senjata api itu bukan dibuat di sini, tetapi ia dibawa dari negara ini sebelum diseludup ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita dari Malaysia di Kem Sirindhorn, di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Naratip memberitahu, pihaknya bagaimanapun tidak boleh mendedahkan pangkalan haram yang menjadi laluan penyeludupan senjata api, namun menegaskan bahawa kegiatan tersebut berlaku di lokasi yang dirobohkan.
Menurutnya, pihak tentera Wilayah Ke-4 sentiasa akan mematahkan kaedah atau taktik yang digunakan oleh sindiket tertentu di negara ini sebelum menyeludup senjata api ke Malaysia.
“Secara literalnya, kita bersetuju dengan tindakan perobohan pangkalan haram yang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia kerana semua perlu merentas masuk atau keluar dari kedua-dua negara melalui laluan sah.
“Sebelum ini, kerajaan juga ada memberi cadangan untuk memasang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sempadan Thailand-Malaysia di kawasan tiga wilayah Selatan Thailand untuk mengekang kegiatan penyeludupan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja perobohan 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat bermula Selasa lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di Rantau Panjang menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa dua bulan.
Katanya, semakan mendapati sebanyak 216 daripada 223 jeti haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina atas tanah kerajaan.
“Baki tujuh struktur binaan dibuat atas tanah milik persendirian. Perkara ini sudah hampir setahun saya maklumkan dan masyarakat faham tujuan sebenar tindakan perobohan dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














