PETALING JAYA – Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) harus menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, tetapi juga dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia memacu ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun (Global North dan Global South).
“APEC terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.
“Kini, APEC sedang memupuk idea baharu seperti pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan keterangkuman teknologi, rantaian bekalan yang berdaya tahan, serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan,” katanya menerusi media sosial.
Terdahulu beliau berkata, selepas berakhirnya sidang Kemuncak ASEAN ke-47, keyakinannya semakin teguh bahawa dialog dan kerjasama serantau bukan sekadar wajar, sebaliknya suatu keperluan mendesak.
“Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.
“Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara semasa sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea, hari ini. – KOSMO! ONLINE














