CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh perintah Injunksi bagi menghalang akaun Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas menyiarkan kandungan berunsur mudarat.
MCMC berkata, keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menandakan langkah penting dalam usaha berterusan memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan seiring dengan kepentingan awam.
“Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Menurut kenyataan itu, perintah tersebut bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan dan menghasut yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara.
“Mahkamah dalam keputusannya menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, dengan keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada MCMC.
“Mahkamah mengambil kira bahawa kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, mahkamah turut mengingatkan bahawa penyedia platform luar negara seperti Telegram perlu peka terhadap konteks sosial dan perlembagaan Malaysia, selain menghormati undang-undang tempatan.
MCMC menegaskan keputusan itu menunjukkan kesungguhan pihaknya dalam memelihara keselamatan digital negara serta mengawal penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu keharmonian awam. – KOSMO! ONLINE














