fbpx
Lokasi rumah kongsi di kawasan pembalakan yang diserang gajah di Felda Aring 8, Gua Musang kelmarin. FOTO IHSAN POLIS

Mandur pekerja pembalakan maut dipijak gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang mandur pekerja pembalakan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai diserang dan dipijak gajah di rumah kongsi kawasan pembalakan di Felda Aring 8 di sini kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Saidi Jahari, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada pada tubuh badan termasuk patah kedua-dua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian serangan gajah liar pada pukul 8.15 pagi semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika seramai enam orang pekerja pembalakan sedang tidur di dalam rumah kongsi tersebut.

“Mereka telah terhidu bau gajah yang kuat sebelum mendengar bunyi bising di luar khemah dan melihat sekawan gajah liar menghampiri kawasan tersebut.

“Kesemua pekerja bertindak melarikan diri ke kawasan hutan untuk menyelamatkan diri, namun mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum telah diserang oleh seekor gajah,” katanya.

Choon Foo berkata, beberapa jam kemudian, kumpulan pekerja itu kembali ke rumah kongsi tersebut dan mendapati mangsa masih hidup, namun mengalami kecederaan serius termasuk patah kedua-dua belah kaki.

Menurutnya, pekerja ladang berkenaan telah membawa mangsa masuk ke dalam rumah kongsi bagi mendapatkan perlindungan sementara.

“Tidak lama kemudian, seekor gajah dipercayai ketua kawanan haiwan tersebut telah kembali ke kawasan rumah kongsi dan menyerang semula semua pekerja ladang di situ.

“Kesemua mereka sekali lagi melarikan diri ke dalam hutan kecuali mangsa. Apabila keadaan kembali tenang, mereka kembali semula dan mendapati mangsa tiada di dalam rumah kongsi itu,” ujarnya.

Choon Foo berkata, hasil pencarian di kawasan berhampiran menjumpai mangsa sudah tidak bernyawa di jalan keluar dengan kesan cedera parah pada tubuh dipercayai dipijak gajah.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut dimaklumkan mengenai kejadian itu dan menjalankan usaha mengesan kawanan gajah terbabit sedang dijalankan.

“Tiada unsur jenayah ditemui terhadap kematian mangsa. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI