KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan komitmen untuk membantu Timor-Leste menyesuaikan diri dengan keanggotaan baharu dalam ASEAN, termasuk dalam aspek kerjasama ketenteraan dan latihan pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia memahami keadaan semasa Timor-Leste dan tidak meletakkan beban kepada negara itu untuk terus beroperasi pada tahap yang sama seperti anggota ASEAN lain.
“Kita faham keadaan Timor-Leste dan kita tidak menjangka serta mengharapkan supaya dengan kemasukannya, maka dengan serta-merta ia mampu untuk menyertai pada tahap sebagaimana negara lain dalam ASEAN. Kita perlu memfasilitasi,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan negara anggota ASEAN akan membimbing Timor-Leste mengikut kesediaan dan keupayaannya sendiri.
“Kita tidak mahu Timor-Leste merasakan dengan menyertai ASEAN mereka perlu bergerak terlalu cepat. Jadi kita bagi dia ikut rentak sendiri (at his own pace) tapi kita akan fasilitasi,” ujarnya.
Tambah beliau, peluang untuk menyertai latihan ketenteraan dan maritim ASEAN akan terbuka kepada Timor-Leste berdasarkan kesediaan negara itu untuk mengambil bahagian.
“Kita beritahu dia (Timor-Leste) apa saja latihan ketenteraan, latihan maritim bergantung kepada kesediaannya, dia (Timor-Leste) boleh pertimbang untuk sama-sama menyertai.
“Tapi adalah penting untuk Timor-Leste mengambil peluang itu bagi memahami konteks kerjasama dalam ASEAN, selain mengukuhkan rangkaian dan membina kepercayaan,” katanya.
Jelas beliau lagi, kepercayaan antara anggota ASEAN adalah asas penting dalam memastikan kerjasama ketenteraan serantau kekal kukuh dan berterusan.
“Seperti yang saya selalu tekankan, kekerapan berjumpa akan membangunkan satu kepercayaan. Dan trust (kepercayaan) itu sangat penting dalam konteks kerjasama ini kerana tanpa kepercayaan, tidak ada kerjasama yang akan kekal selama-lamanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
