YALA, THAILAND – Kejadian letupan bom buatan sendiri yang berlaku di kebanyakan lokasi di Wilayah Selatan Thailand sejak kebelakangan ini dipercayai menggunakan baja urea yang diseludup dari negara jiran.
Baja urea digunakan sebagai sumber nitrogen tinggi untuk tumbuhan bagi menggalakkan pertumbuhan yang subur, menghasilkan daun yang lebih hijau dan meningkatkan hasil tanaman.
Bahan itu sesuai untuk pelbagai jenis tanaman seperti jagung dan gandum selain boleh digunakan untuk meningkatkan pertumbuhan rumput.
Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, maklumat tersebut diperoleh selepas pihaknya menahan suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pembuatan bom di kawasan Thailand-Malaysia kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, selain itu, penahanan individu dari dua negara jiran dengan Thailand turut membawa kepada pendedahan maklumat bahawa baja urea tersebut diseludup untuk menghasilkan bom pelbagai saiz.
“Selain penahanan suspek, kita memperoleh maklumat mengenai kes penyeludupan baja urea untuk penghasilan bom melalui nombor siri pada kotak bahan tersebut.
“Kotak baja itu juga jelas menunjukkan ia diperbuat dari kilang-kilang oleh syarikat dari negara jiran. Jadi, baja urea itu diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand-Malaysia untuk dijadikan bahan utama membuat bom,” katanya ketika ditemui pemberita dari Malaysia di Kem Sirindhorn, di sini kelmarin.
Difahamkan, baja urea sukar untuk diperoleh dan dibeli di Wilayah Selatan Thailand.
Mengulas lanjut, Naratip memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kumpulan tertentu menjadikan lokasi berbukit di kawasan hutan di wilayah ini untuk memproses bom buatan sendiri menggunakan baja urea.
Menurutnya, bom-bom tersebut dipercayai akan dihantat ke kawasan rumah penduduk kampung sebelum dibawa ke lokasi-lokasi tertentu untuk diletupkan.
“Selain baja urea, mereka juga dipercayai mencampurkan besi, paku, kaca dan batu untuk memberi kesan atau impak yang kuat kepada golongan yang disasarkan.
“Penggunaan bahan tambahan itu boleh memudaratkan golongan yang disasarkan sehingga berisiko untuk maut,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, dua anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan Thailand maut dalam insiden letupan bom dan tembak-menembak di Sungai Golok dekat sini pada 8 Mac lalu.
Pada 20 Ogos lalu, empat anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan cedera selepas kereta dipasang bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan meletup di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai di sini.
Selepas itu, dua cedera dalam tujuh siri letupan bom yang menggegarkan tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani bermula tengah malam hingga awal pagi pada 1 September lalu.
Terbaharu, seorang anggota sukarelawan Pasukan Pertahanan Sukarelawan terbunuh manakala dua renjer cedera dalam insiden letupan bom di dua lokasi berasingan di Narathiwat, di sini pada 27 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
